sasteraku

Filed Under () by Nas Ismail on Ahad, 11 Oktober 2009

Harga Sebuah Persahabatan.
Mohd Nasro Bin Ismail.
Imbang Penuh
Entah mengapa hari demi hari aku masih lesu , perasaanku bagaikan ditiup oleh angin sejuk yang dingin. Perasaanku tetap juga tidak susut dari lubuk hati ini. Ingin Aku luahkan isi hati perasaan ku tetapi sangat sukar bagaikan duri yang berlumba - lumba mencucuk hatiku. Aku cuba memberitahu kepada hati dan fikiranku supaya tidak meluahkan perasaan yang begitu berat ditanggung, biarlah ia terbenak di dalam lubuk jiwaku. Aku mengambil keputusan biarlah perasaan takutku terhadap peristiwa semalam tidak akan berulang lagi dan hanyut di bawa arus malam yang pekat dan sepi.
Walaupun malam makin larut, mindaku masih tertanya – tanya
“Adakah betul tindakanku meninggikan suara di hadapan Imran?.”

Bagiku Imran merupakan sahabat baikku yang sukar untuk ku perolehi. Ramai sahabatku yang pernah aku kenali dulu tetapi tidak sebaik Imran yang menjadi sahabat karibku beberapa tahun kebelakangan ini. Aku terdiam seketika memikirkan perkara yang telah terjadi. Diriku masih tertanya – tanya adakah Imran begitu kecewa dengan ku kerana memarahinya semalam di sebabkan perkara yang begitu kecil kerana tidak sengaja menghilangkan diari ku. Tetapi diari itu amat penting bagi ku. Diari itulah yang merekodkan segala perjalanan hidupku, perbuatan ku, cita – cita ku, impian ku, dan juga pengalaman ku. Hati kecilku bertanya.

“Persahabatan atau diari itukah yang penting?”.

Imran telah banyak berjasa kepadaku, walaupun dia juga membesar dari keluarga yang sederhana. Tidak sepertiku yang merupakan anak kepada ahli perniagaan yang kaya. Keluarga Imran hanya dapat hidup senang sahaja tetapi hanya serba cukup untuk hidup dan tidak bermewah – mewah. Sebenarnya Imran sangat berbudi kepadaku dan banyak menolongku semasa di sekolah. Dialah yang banyak membantuku jika tidak mengerti apa yang diajar oleh guru, dialah yang sanggup mengejarku ke hospital semasa aku pengsan di gelanggang badminton dua bulan yang lalu. Namun sikapku yang melampau telah melukai perasaannya dan menyebabkan persahabatan kami sedikit renggang.

Ibu dan bapaku telah bertanyakan kepadaku tentang Imran yang sudah sekian lama tidak ke rumah mereka. Jiwaku terkelu darah yang mengalir bagaikan terhenti seketika disebabkan persoalan yang diajukan oleh kedua - dua orang tuaku. Aku cuba menjawab persoalan itu dengan nada yang terketar – ketar.

“ Imran aa...a agak si...buk sedikit dua tiga hari ni, dia menolong bapanya di kebun.” Aku berasa lega walaupun terpaksa berbohong kepada ibu bapaku tetapi orang tuaku hairan mengapa Imran tidak datang. Sedangkan peperiksaan sudah semakin hampir. Ibuku berjalan sambil bercakap seorang diri

“Hairan betul, selalunya waktu - waktu begini Imran sudah ada di sini untuk mengulangkaji pelajaran bersama anakku.” “Tetapi ke kebun pula.”

Aku menulikan telingaku daripada mendengar percakapan ibuku. Keluargaku begitu mengambil berat tentang Imran dari awal aku berkawan dengannya sehinggalah ke hari ini.
Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam namun aku masih belum dapat tidur. Fikiranku berlegar - legar teringatkan peristiwa yang sudah berlaku lebih kurang dua hari lalu. Aku masih teringatkan kesilapanku memarahi Imran serta memaki hamunnya disebabkan diari itu. Aku terdiam seketika, keadaan menjadi sepi apabila sudah lewat malam dan mataku sedikit demi sedikit menjadi kabur. Aku terlena di penjuru katilku. Tiba - tiba aku terdengar bunyi laungan yang tidak berapa kuat dan samar - samar seperti memanggil namaku

“Azman...Azman...bangun sudah pukul 6.30 pagi nak.”

Rupa - rupanya ibu mengejutkanku supaya bersiap untuk ke sekolah. Badanku terasa begitu berat untuk ke sekolah disebabkan rasa bersalahku terhadap Imran dan ingin mengelak bertemu dengannya. Aku bergegas ke bilik air dengan cepat dan selepas solat subuh aku sempat menjamah sedikit sarapan, lalu mencapai basikal untuk ke sekolah yang tidak jauh dari rumahku. Mataku liar memandang rumah Imran yang tidak jauh dari rumahku yang berselang dengan enam, tujuh buah rumah kalau - kalau terserempak dengan Imran.

Setibanya Aku ke sekolah aku memandang ke garaj basikal tetapi tidak juga kelihatan Imran di situ, di kantin, di bilik darjah, di tapak perhimpunan pun tidak ada. Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi tetapi Imran masih tidak sampai. Terdetik di fikiranku apa yang berlaku terhadap Imran sehingga tidak datang ke sekolah pada hari ini. Adakah dia masih terkilan dengan peristiwa yang berlaku antara kami berdua. Aku cuba bertanya kepada rakan sekelas iaitu Aini yang merupakan rakan sekelas yang sentiasa mengambil berat tentang Imran.

“Aini, kenapa Imran tidak datang hari ini?”
“Entahlah Azman. Mungkin dia tidak sihat hari ini.”
“Apa dan jadi pada Imran ya.” Bisik hatiku ingin tahu.

Perasaanku begitu rungsing pada hari itu. Aku sudah mengerti bagaimana jika kehilangan sahabat yang begitu rapat. Perasaan risau terhadap Imran makin menjadi - jadi, makin meluap - luap di benak hatiku. Darah di badanku berkelodak terlalu laju seolah - olah sesuatu perkara buruk telah berlaku kepada Imran. Tentang perkara yang telah berlaku dua hari lepas telah hilang begitu jauh dari fikiranku, dan tidak difikirkannya lagi tetapi yang difikirkanku adalah rakanku yang banyak berjasa kepadaku iaitu Imran. Teringat akan kejadian yang menimpaku di gelanggang badminton dua bulan yang lalu bagaimana Imran cuba mendapatkan orang untuk membawaku ke hospital kerana pengsan akibat kehilangan stamina selepas berlatih badminton bersama - sama. Kejadian tersebut tidak luput di ingatanku, tambahan pula Imran sanggup menjagaku bersama - sama orang tuaku di hospital.

Tiba - tiba bunyi loceng memecahkan gelora fikiranku tentang Imran. Jam di tangan ku diperhati. “Sudah pukul 1.05 minit” keluhku.

Rakan - rakanku sudah bergegas untuk pulang ke rumah masing - masing. Sebelum pulang ke rumah aku bercadang hendak singgah sebentar di rumah Imran kalau - kalau dia ada di rumah, bolehlah aku meminta maaf di atas kejadian tempoh hari. Aku keluar dari kelas dan menuruni tangga lalu menuju ke arah garaj di mana basikalku di letakkan disitu. Aku mencapai basikalku, pedal basikal ditekanku lalu dikayuh perlahan - lahan untuk pulang ke rumah.
Semasa perjalanan aku memerhati keadaan kampung yang tak ubah seperti sebelumnya iaitu sebelum kami sekeluarga datang menetap di sini empat tahun yang lalu sewaktu aku berumur 14 tahun. Kini umurku sudahpun genap 17 tahun dan tahun ini sekali lagi aku perlu menempuhi ujian peperiksaan yang begitu penting untuk masa depanku iaitu SPM. Tiba - tiba kayuhan aku terhenti lalu rumah Imran dipandang dalam - dalam. Aku cuba memberanikan diriku untuk bertemu dengan Imran. Hatiku berbicara sendirian.

“ Mahukah Imran berjumpa denganku”, “Atau dia masih lagi benci denganku”

Aku berjalan dengan rentak yang perlahan menuju ke muka pintu rumahnya, badanku sedikit terketar untuk berjumpa dengannya. Rumah Imran nampak sunyi sepi seperti tiada orang di rumah. Aku melepaskan pandanganku di sekeliling rumahnya. Aku cuba memberi salam kalau – kalau ada orang yang menyahut.

“ Assalamualaikum...Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam...” jawab emak Imran dari belakang rumah..
“Oh...Azman”. “lama Makcik tak nampak kamu”
“Kamu sihat?” “Saya sihat Makcik.” Jawabku dengan nada yang sederhana.
“Saya datang nak jumpa Imran Makcik, dia ada di rumah tak Makcik?”
“Oh...Imran tiada di rumah, dia ada di Hospital”. Hatiku tidak tenang apabila mendapat tahu Imran berada di hospital.

“saya datang nak minta maaf pada Imran tentang kejadian tempoh hari”. Ibu Imran menjawab “ Ohh...pasal diari yang dihilangkan Imran ke?”, “ya makcik”. “sebenarnya Imran tidak marah pada kamu”.

Hatiku lega apabila mendapat tahu Imran tidak mengambil hati pasal kejadian tempoh hari. Tetapi legaku hanya sementara sahaja. Tanda kerisauan masih lagi tidak hilang jika tidak berjumpa dengan Imran. Aku cuba bertanya kepada orang tua Imran.

“Imran sakit apa makcik?”. Emak Imran menjawab “dia kemalangan baru – baru ni”. Aku terkejut “ betul ke makcik?”, “bagaimana dengan dia?”, “terukkah dia?” dengan laju aku bertanya, persoalan ku tidak sempat dijawab oleh emak Imran.
“Imran masih tidak sedarkan diri”, “tangannya patah”.

Hatiku begitu gelisah mendengarkan kata – kata emaknya. Adakah ini disebabkan oleh sikapku tempoh hari sehinggakan Imran kemalangan. Patutlah hari ini dia tidak ke sekolah, keluhku sendiri. Muka ku semakin sebal setelah mendapat tahu kejadian tersebut. Jantungku makin pantas denyutannya dan nafasku tersekat – sekat. Aku memandang wajah orang tua Imran dengan tiba – tiba perasaanku tidak dapat ditahan lagi, sebalku makin bertambah, perasaan bersalah makin membuak – buak. Tersembul dari mulutku
“Saya minta maaf makcik, ini mungkin salah saya...mung..kin sa...lah sa...ya”.
Percakapanku mula terketar – ketar.
“ Kalau saya tidak marah dan memakinya mesti dia tidak jadi begini”.Air yang jernih dari telaga mataku keluar mengalir disebabkan perasaan sebal dan bersalah terhadap Imran.
“ Bukan salahmu Azman...ini sudah ketentuan tuhan, lagipun Imran hendak ke kedai hari itu..” “Makcik yang menyuruhnya ke kedai.”
“ Dia dilanggar kereta” jawab emak Imran dalam keadaan yang sedih. “Sudah...kamu jangan menangis lagi” tegur emak Imran.

Esakanku makin perlahan menahan rasa bersalah yang tidak terhingga. Aku mengesat air mata yang mengalir tadi dengan bajuku. Rasa sedih dan bersalah aku masih belum terpadam dari diriku. Aku mesti membalas budi Imran kembali seperti yang telah dia lakukan terhadapku dahulu.
“Aku mesti balas jasamu!”. Bisikku sendirian.

Aku mesti pulang memberitahu kedua – dua orang tuaku. Aku meminta diri untuk pulang ke rumah kepada orang tua Imran. Aku mendapatkan basikalku yang disandarkan di tiang penjuru rumah Imran. Basikalku di pegang dengan kuat, kakiku memijak pedal dengan kuat dengan laju mengayuh basikal menuju ke rumah. Kayuhan demi kayuhan barulah aku sampai ke rumah. Belum pun sempat menuju ke pintu pagar rumah sudahku lepaskan basikal di situ.
Aku menjerit di pintu rumah “ Ibu! Ibu!”. Daun pintu ditolakku dengan kuat

“kenapa dengan kau?” sampuk Ibuku dari dapur. “Ibu lihat kamu ni macam dikejar hantu.” aku menjawab dengan kelam kabut.
“Imran Ibu...Imran..”
“kenapa dengan Imran?”, “dia terlantar di hospital...dia kemalangan”
“Subhanallah...bagaimana dengan dia?” “Dia masih pengsan.”
Jawabku dengan cepat. Aku menceritakan segala kejadian yang sudah berlaku diantara kami iaitu mengenai sebuah diari yang tidak sengaja dihilangkan oleh Imran. Aku juga menceritakan tentang sikap terlanjurku memarahi dan memaki hamunnya kepada ibuku. Ibuku begitu terkejut dengan kejadian yang berlaku kepada Imran.

“kenapa kamu memarahinya begitu sekali?, Diakan kawan baik kamu.” Celah ibu. Aku terdiam seketika, “saya tidak sengajaja ibu...saya ingin melawatnya di hospital petang ini” balasku dengan nada bersalah. Selang beberapa minit bapaku tiba di rumah dengan menaiki kereta, Ibuku tergesa – gesa memberitahu kepada bapaku.

“ Bang. Imran berada di hospital!. Kita kena lawat dia bang.” “ kenapa dengannya?”. Soal bapaku.

Ibuku menceritakan segalanya kepada ayahku dan mereka ingin melawat Imran di hospital. Kami bersiap - siap untuk ke hospital yang jaraknya lebih kurang sepuluh kilometer dari rumahku. Sewaktu perjalanan ke hospital wajahku merenung jauh di luar tingkap kenderaan yang dipandu oleh bapaku. Terbayang - bayang di fikiranku bagaimanakah keadaan Imran sekarang. Sudah sedarkah dia atau masih koma. Setibanya di hospital aku tergesa - tergesa keluar dari kenderaan lalu menuju ke kaunter hospital tersebut dan bertanya di mana bilik wad Imran.

“Nurse di mana bilik pesakit bernama Mohd Imran?”.

Jururawat tersebut membelek - belek fail pesakit dan mengambil satu fail di celahan fail yang banyak itu
“dia di bilik nombor 102” jawab jururawat tersebut.

Lalu aku, Ibu dan bapaku menuju ke wad tersebut yang berada di tingkat dua. Aku menolak pintu wad tersebut, ternampak aku Imran yang sedang terbaring di atas katil wad tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kepalanya luka sedikit, bahagian tangan kirinya patah dan dibaluti dengan simen. Tiba - tiba seorang jururawat datang untuk memeriksa keadaan semasanya. Bapaku bertanya kepada jururawat tersebut

“Bagaimana dengan keadaan Imran nurse?.” “Keadaan dia sudah stabil.” Balas jururawat tersebut.

Aku berasa lega dengan kata - kata jururawat tersebut. Terdengar suara memberi salam dari pintu bilik tersebut. Aku menoleh, rupa - rupanya orang tua Imran datang menziarahi.
Orang tuaku menghulurkan salam kepada emak Imran dan mereka berborak tentang kejadian yang menimpa Imran. Ibuku memberi semangat kepada orang tua Imran supaya lebih tabah dan tidak hilang semangat tentang kejadian yang telah ditentukan oleh-Nya. Selang beberapa minit kami di situ, Aku ternampak jari Imran bergerak sedikit demi sedikit, kami semua memandang Imran dengan penuh perhatian. Imran membukakan mata, dan tiba – tiba menyebut namaku .
“Azman ...Azman...Azman” berulang kali. Aku terkejut “ syukurlah Imran kamu sudah sedar”.
Aku berada di tepinya, aku memandang wajahnya dan mulutku cuba untuk meminta maaf tetapi Imran seperti sudah mengetahui.
“Bukan salahmu azman.” Dia bersuara. Tentang perkara lalu aku sudah lama memaafkanmu.”
Airmataku tiba – tiba mengalir dan barulah ku sedar bertapa berharganya sebuah persahabatan yang dibina.
“ Aku yang bersalah kepadamu.” Jawab Imran.
Aku mengeleng - gelengkan kepala menunjukkan yang dia tidak bersalah. Emak Imran begitu gembira melihat anaknya sudah sedar dan boleh bercakap seperti biasa. Semua orang di sekililing juga gembira dengan situasi tersebut.
“ syukurlah Imran sudah sedar.”

Pada hari itu aku menjadi orang yang paling gembira setelah sahabat karibku telah kembali walaupun tidak lagi sembuh seperti sedia kala. Tetapi keadaan Imran yang sudah terjaga dari tidur yang agak lama telah melenyapkan perasaanku yang walang. Aku begitu bersyukur kepadaNya.

Aku berjanji kepada Imran tidak akan memarahinya lagi walau apapun yang berlaku. Kerana bagiku persahabatan lebih berharga daripada cintakan sesuatu barang yang boleh diperolehi dengan mudah dan persahabatan itulah yang membuatkan aku rasa bahagia.
“ Inilah harga sebuah persahabatan.” Jawab hatiku.

Comments:

No Comments posted for sasteraku

Leave a Reply