sasteraku

Filed Under () by Nas Ismail on Ahad, 11 Oktober 2009

Harga Sebuah Persahabatan.
Mohd Nasro Bin Ismail.
Imbang Penuh
Entah mengapa hari demi hari aku masih lesu , perasaanku bagaikan ditiup oleh angin sejuk yang dingin. Perasaanku tetap juga tidak susut dari lubuk hati ini. Ingin Aku luahkan isi hati perasaan ku tetapi sangat sukar bagaikan duri yang berlumba - lumba mencucuk hatiku. Aku cuba memberitahu kepada hati dan fikiranku supaya tidak meluahkan perasaan yang begitu berat ditanggung, biarlah ia terbenak di dalam lubuk jiwaku. Aku mengambil keputusan biarlah perasaan takutku terhadap peristiwa semalam tidak akan berulang lagi dan hanyut di bawa arus malam yang pekat dan sepi.
Walaupun malam makin larut, mindaku masih tertanya – tanya
“Adakah betul tindakanku meninggikan suara di hadapan Imran?.”

Bagiku Imran merupakan sahabat baikku yang sukar untuk ku perolehi. Ramai sahabatku yang pernah aku kenali dulu tetapi tidak sebaik Imran yang menjadi sahabat karibku beberapa tahun kebelakangan ini. Aku terdiam seketika memikirkan perkara yang telah terjadi. Diriku masih tertanya – tanya adakah Imran begitu kecewa dengan ku kerana memarahinya semalam di sebabkan perkara yang begitu kecil kerana tidak sengaja menghilangkan diari ku. Tetapi diari itu amat penting bagi ku. Diari itulah yang merekodkan segala perjalanan hidupku, perbuatan ku, cita – cita ku, impian ku, dan juga pengalaman ku. Hati kecilku bertanya.

“Persahabatan atau diari itukah yang penting?”.

Imran telah banyak berjasa kepadaku, walaupun dia juga membesar dari keluarga yang sederhana. Tidak sepertiku yang merupakan anak kepada ahli perniagaan yang kaya. Keluarga Imran hanya dapat hidup senang sahaja tetapi hanya serba cukup untuk hidup dan tidak bermewah – mewah. Sebenarnya Imran sangat berbudi kepadaku dan banyak menolongku semasa di sekolah. Dialah yang banyak membantuku jika tidak mengerti apa yang diajar oleh guru, dialah yang sanggup mengejarku ke hospital semasa aku pengsan di gelanggang badminton dua bulan yang lalu. Namun sikapku yang melampau telah melukai perasaannya dan menyebabkan persahabatan kami sedikit renggang.

Ibu dan bapaku telah bertanyakan kepadaku tentang Imran yang sudah sekian lama tidak ke rumah mereka. Jiwaku terkelu darah yang mengalir bagaikan terhenti seketika disebabkan persoalan yang diajukan oleh kedua - dua orang tuaku. Aku cuba menjawab persoalan itu dengan nada yang terketar – ketar.

“ Imran aa...a agak si...buk sedikit dua tiga hari ni, dia menolong bapanya di kebun.” Aku berasa lega walaupun terpaksa berbohong kepada ibu bapaku tetapi orang tuaku hairan mengapa Imran tidak datang. Sedangkan peperiksaan sudah semakin hampir. Ibuku berjalan sambil bercakap seorang diri

“Hairan betul, selalunya waktu - waktu begini Imran sudah ada di sini untuk mengulangkaji pelajaran bersama anakku.” “Tetapi ke kebun pula.”

Aku menulikan telingaku daripada mendengar percakapan ibuku. Keluargaku begitu mengambil berat tentang Imran dari awal aku berkawan dengannya sehinggalah ke hari ini.
Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam namun aku masih belum dapat tidur. Fikiranku berlegar - legar teringatkan peristiwa yang sudah berlaku lebih kurang dua hari lalu. Aku masih teringatkan kesilapanku memarahi Imran serta memaki hamunnya disebabkan diari itu. Aku terdiam seketika, keadaan menjadi sepi apabila sudah lewat malam dan mataku sedikit demi sedikit menjadi kabur. Aku terlena di penjuru katilku. Tiba - tiba aku terdengar bunyi laungan yang tidak berapa kuat dan samar - samar seperti memanggil namaku

“Azman...Azman...bangun sudah pukul 6.30 pagi nak.”

Rupa - rupanya ibu mengejutkanku supaya bersiap untuk ke sekolah. Badanku terasa begitu berat untuk ke sekolah disebabkan rasa bersalahku terhadap Imran dan ingin mengelak bertemu dengannya. Aku bergegas ke bilik air dengan cepat dan selepas solat subuh aku sempat menjamah sedikit sarapan, lalu mencapai basikal untuk ke sekolah yang tidak jauh dari rumahku. Mataku liar memandang rumah Imran yang tidak jauh dari rumahku yang berselang dengan enam, tujuh buah rumah kalau - kalau terserempak dengan Imran.

Setibanya Aku ke sekolah aku memandang ke garaj basikal tetapi tidak juga kelihatan Imran di situ, di kantin, di bilik darjah, di tapak perhimpunan pun tidak ada. Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 pagi tetapi Imran masih tidak sampai. Terdetik di fikiranku apa yang berlaku terhadap Imran sehingga tidak datang ke sekolah pada hari ini. Adakah dia masih terkilan dengan peristiwa yang berlaku antara kami berdua. Aku cuba bertanya kepada rakan sekelas iaitu Aini yang merupakan rakan sekelas yang sentiasa mengambil berat tentang Imran.

“Aini, kenapa Imran tidak datang hari ini?”
“Entahlah Azman. Mungkin dia tidak sihat hari ini.”
“Apa dan jadi pada Imran ya.” Bisik hatiku ingin tahu.

Perasaanku begitu rungsing pada hari itu. Aku sudah mengerti bagaimana jika kehilangan sahabat yang begitu rapat. Perasaan risau terhadap Imran makin menjadi - jadi, makin meluap - luap di benak hatiku. Darah di badanku berkelodak terlalu laju seolah - olah sesuatu perkara buruk telah berlaku kepada Imran. Tentang perkara yang telah berlaku dua hari lepas telah hilang begitu jauh dari fikiranku, dan tidak difikirkannya lagi tetapi yang difikirkanku adalah rakanku yang banyak berjasa kepadaku iaitu Imran. Teringat akan kejadian yang menimpaku di gelanggang badminton dua bulan yang lalu bagaimana Imran cuba mendapatkan orang untuk membawaku ke hospital kerana pengsan akibat kehilangan stamina selepas berlatih badminton bersama - sama. Kejadian tersebut tidak luput di ingatanku, tambahan pula Imran sanggup menjagaku bersama - sama orang tuaku di hospital.

Tiba - tiba bunyi loceng memecahkan gelora fikiranku tentang Imran. Jam di tangan ku diperhati. “Sudah pukul 1.05 minit” keluhku.

Rakan - rakanku sudah bergegas untuk pulang ke rumah masing - masing. Sebelum pulang ke rumah aku bercadang hendak singgah sebentar di rumah Imran kalau - kalau dia ada di rumah, bolehlah aku meminta maaf di atas kejadian tempoh hari. Aku keluar dari kelas dan menuruni tangga lalu menuju ke arah garaj di mana basikalku di letakkan disitu. Aku mencapai basikalku, pedal basikal ditekanku lalu dikayuh perlahan - lahan untuk pulang ke rumah.
Semasa perjalanan aku memerhati keadaan kampung yang tak ubah seperti sebelumnya iaitu sebelum kami sekeluarga datang menetap di sini empat tahun yang lalu sewaktu aku berumur 14 tahun. Kini umurku sudahpun genap 17 tahun dan tahun ini sekali lagi aku perlu menempuhi ujian peperiksaan yang begitu penting untuk masa depanku iaitu SPM. Tiba - tiba kayuhan aku terhenti lalu rumah Imran dipandang dalam - dalam. Aku cuba memberanikan diriku untuk bertemu dengan Imran. Hatiku berbicara sendirian.

“ Mahukah Imran berjumpa denganku”, “Atau dia masih lagi benci denganku”

Aku berjalan dengan rentak yang perlahan menuju ke muka pintu rumahnya, badanku sedikit terketar untuk berjumpa dengannya. Rumah Imran nampak sunyi sepi seperti tiada orang di rumah. Aku melepaskan pandanganku di sekeliling rumahnya. Aku cuba memberi salam kalau – kalau ada orang yang menyahut.

“ Assalamualaikum...Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam...” jawab emak Imran dari belakang rumah..
“Oh...Azman”. “lama Makcik tak nampak kamu”
“Kamu sihat?” “Saya sihat Makcik.” Jawabku dengan nada yang sederhana.
“Saya datang nak jumpa Imran Makcik, dia ada di rumah tak Makcik?”
“Oh...Imran tiada di rumah, dia ada di Hospital”. Hatiku tidak tenang apabila mendapat tahu Imran berada di hospital.

“saya datang nak minta maaf pada Imran tentang kejadian tempoh hari”. Ibu Imran menjawab “ Ohh...pasal diari yang dihilangkan Imran ke?”, “ya makcik”. “sebenarnya Imran tidak marah pada kamu”.

Hatiku lega apabila mendapat tahu Imran tidak mengambil hati pasal kejadian tempoh hari. Tetapi legaku hanya sementara sahaja. Tanda kerisauan masih lagi tidak hilang jika tidak berjumpa dengan Imran. Aku cuba bertanya kepada orang tua Imran.

“Imran sakit apa makcik?”. Emak Imran menjawab “dia kemalangan baru – baru ni”. Aku terkejut “ betul ke makcik?”, “bagaimana dengan dia?”, “terukkah dia?” dengan laju aku bertanya, persoalan ku tidak sempat dijawab oleh emak Imran.
“Imran masih tidak sedarkan diri”, “tangannya patah”.

Hatiku begitu gelisah mendengarkan kata – kata emaknya. Adakah ini disebabkan oleh sikapku tempoh hari sehinggakan Imran kemalangan. Patutlah hari ini dia tidak ke sekolah, keluhku sendiri. Muka ku semakin sebal setelah mendapat tahu kejadian tersebut. Jantungku makin pantas denyutannya dan nafasku tersekat – sekat. Aku memandang wajah orang tua Imran dengan tiba – tiba perasaanku tidak dapat ditahan lagi, sebalku makin bertambah, perasaan bersalah makin membuak – buak. Tersembul dari mulutku
“Saya minta maaf makcik, ini mungkin salah saya...mung..kin sa...lah sa...ya”.
Percakapanku mula terketar – ketar.
“ Kalau saya tidak marah dan memakinya mesti dia tidak jadi begini”.Air yang jernih dari telaga mataku keluar mengalir disebabkan perasaan sebal dan bersalah terhadap Imran.
“ Bukan salahmu Azman...ini sudah ketentuan tuhan, lagipun Imran hendak ke kedai hari itu..” “Makcik yang menyuruhnya ke kedai.”
“ Dia dilanggar kereta” jawab emak Imran dalam keadaan yang sedih. “Sudah...kamu jangan menangis lagi” tegur emak Imran.

Esakanku makin perlahan menahan rasa bersalah yang tidak terhingga. Aku mengesat air mata yang mengalir tadi dengan bajuku. Rasa sedih dan bersalah aku masih belum terpadam dari diriku. Aku mesti membalas budi Imran kembali seperti yang telah dia lakukan terhadapku dahulu.
“Aku mesti balas jasamu!”. Bisikku sendirian.

Aku mesti pulang memberitahu kedua – dua orang tuaku. Aku meminta diri untuk pulang ke rumah kepada orang tua Imran. Aku mendapatkan basikalku yang disandarkan di tiang penjuru rumah Imran. Basikalku di pegang dengan kuat, kakiku memijak pedal dengan kuat dengan laju mengayuh basikal menuju ke rumah. Kayuhan demi kayuhan barulah aku sampai ke rumah. Belum pun sempat menuju ke pintu pagar rumah sudahku lepaskan basikal di situ.
Aku menjerit di pintu rumah “ Ibu! Ibu!”. Daun pintu ditolakku dengan kuat

“kenapa dengan kau?” sampuk Ibuku dari dapur. “Ibu lihat kamu ni macam dikejar hantu.” aku menjawab dengan kelam kabut.
“Imran Ibu...Imran..”
“kenapa dengan Imran?”, “dia terlantar di hospital...dia kemalangan”
“Subhanallah...bagaimana dengan dia?” “Dia masih pengsan.”
Jawabku dengan cepat. Aku menceritakan segala kejadian yang sudah berlaku diantara kami iaitu mengenai sebuah diari yang tidak sengaja dihilangkan oleh Imran. Aku juga menceritakan tentang sikap terlanjurku memarahi dan memaki hamunnya kepada ibuku. Ibuku begitu terkejut dengan kejadian yang berlaku kepada Imran.

“kenapa kamu memarahinya begitu sekali?, Diakan kawan baik kamu.” Celah ibu. Aku terdiam seketika, “saya tidak sengajaja ibu...saya ingin melawatnya di hospital petang ini” balasku dengan nada bersalah. Selang beberapa minit bapaku tiba di rumah dengan menaiki kereta, Ibuku tergesa – gesa memberitahu kepada bapaku.

“ Bang. Imran berada di hospital!. Kita kena lawat dia bang.” “ kenapa dengannya?”. Soal bapaku.

Ibuku menceritakan segalanya kepada ayahku dan mereka ingin melawat Imran di hospital. Kami bersiap - siap untuk ke hospital yang jaraknya lebih kurang sepuluh kilometer dari rumahku. Sewaktu perjalanan ke hospital wajahku merenung jauh di luar tingkap kenderaan yang dipandu oleh bapaku. Terbayang - bayang di fikiranku bagaimanakah keadaan Imran sekarang. Sudah sedarkah dia atau masih koma. Setibanya di hospital aku tergesa - tergesa keluar dari kenderaan lalu menuju ke kaunter hospital tersebut dan bertanya di mana bilik wad Imran.

“Nurse di mana bilik pesakit bernama Mohd Imran?”.

Jururawat tersebut membelek - belek fail pesakit dan mengambil satu fail di celahan fail yang banyak itu
“dia di bilik nombor 102” jawab jururawat tersebut.

Lalu aku, Ibu dan bapaku menuju ke wad tersebut yang berada di tingkat dua. Aku menolak pintu wad tersebut, ternampak aku Imran yang sedang terbaring di atas katil wad tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kepalanya luka sedikit, bahagian tangan kirinya patah dan dibaluti dengan simen. Tiba - tiba seorang jururawat datang untuk memeriksa keadaan semasanya. Bapaku bertanya kepada jururawat tersebut

“Bagaimana dengan keadaan Imran nurse?.” “Keadaan dia sudah stabil.” Balas jururawat tersebut.

Aku berasa lega dengan kata - kata jururawat tersebut. Terdengar suara memberi salam dari pintu bilik tersebut. Aku menoleh, rupa - rupanya orang tua Imran datang menziarahi.
Orang tuaku menghulurkan salam kepada emak Imran dan mereka berborak tentang kejadian yang menimpa Imran. Ibuku memberi semangat kepada orang tua Imran supaya lebih tabah dan tidak hilang semangat tentang kejadian yang telah ditentukan oleh-Nya. Selang beberapa minit kami di situ, Aku ternampak jari Imran bergerak sedikit demi sedikit, kami semua memandang Imran dengan penuh perhatian. Imran membukakan mata, dan tiba – tiba menyebut namaku .
“Azman ...Azman...Azman” berulang kali. Aku terkejut “ syukurlah Imran kamu sudah sedar”.
Aku berada di tepinya, aku memandang wajahnya dan mulutku cuba untuk meminta maaf tetapi Imran seperti sudah mengetahui.
“Bukan salahmu azman.” Dia bersuara. Tentang perkara lalu aku sudah lama memaafkanmu.”
Airmataku tiba – tiba mengalir dan barulah ku sedar bertapa berharganya sebuah persahabatan yang dibina.
“ Aku yang bersalah kepadamu.” Jawab Imran.
Aku mengeleng - gelengkan kepala menunjukkan yang dia tidak bersalah. Emak Imran begitu gembira melihat anaknya sudah sedar dan boleh bercakap seperti biasa. Semua orang di sekililing juga gembira dengan situasi tersebut.
“ syukurlah Imran sudah sedar.”

Pada hari itu aku menjadi orang yang paling gembira setelah sahabat karibku telah kembali walaupun tidak lagi sembuh seperti sedia kala. Tetapi keadaan Imran yang sudah terjaga dari tidur yang agak lama telah melenyapkan perasaanku yang walang. Aku begitu bersyukur kepadaNya.

Aku berjanji kepada Imran tidak akan memarahinya lagi walau apapun yang berlaku. Kerana bagiku persahabatan lebih berharga daripada cintakan sesuatu barang yang boleh diperolehi dengan mudah dan persahabatan itulah yang membuatkan aku rasa bahagia.
“ Inilah harga sebuah persahabatan.” Jawab hatiku.

objektif Pendidikan Seni

by Nas Ismail on Sabtu, 10 Oktober 2009

Menyedari dan menghargai suasana seni dalam persekitaran dan kaitan dengan keselesaan hidup.

Objektif ini merupakan objektif yang kesembilan dan merupakan kesinambungan daripada objektif yang sebelumnya. Objektif ini adalah bertujuan mendidik serta memupuk masyarakat supaya menyedari dan menghargai suasana seni dalam persekitaran dan juga kaitan dengan keselesaan hidup. Objektif ini dapat dilihat melalui topik – topik pangajaran Pendidikan Seni Visual di sekolah menengah iaitu daripada subtajuk apresiasi seni visual dan melalui pengalaman estetik yang diterapkan di dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Pendidikan Seni di sekolah menengah. Objektif ini juga merupakan objektif yang amat penting terutamanya dalam melahirkan modal insan yang mempunyai nilai – nilai murni yang diselitkan di dalam Pendidikan Seni Visual.
Objektif ini telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dan perlu dilaksanakan oleh tenaga pengajar iaitu guru. Objektif ini dapat memberi kesan yang positif kepada masyarakat Malaysia jika dapat dicapai dengan sepenuhnya.


cara mencapai objektif.

Objektif ini boleh dicapai melalui penerapan nilai – nilai yang terdapat di dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah menengah iaitu menengah rendah (1,2,dan 3) dan juga menengah atas (4&5). Di dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Seni Visual terdapatnya topik – topik yang memperkenalkan tentang Apresiasi pendidikan seni visual serta unsur – unsur estetika di dalam pengajaran pendidikan seni. Melalui Pengajaran topik Apresiasi Seni Visual dalam pendidikan seni visual pelajar dapat menghayati serta menghormati suasana seni. Iaitu di dalam topik Apresiasi tersebut pelajar akan mempelajari tentang budaya – budaya masyarakat yang terdapat dalam negara Malaysia. Budaya – budaya di Malaysia adalah pelbagai kerana terdapatnya pelbagai kaum di Malaysia iaitu melayu, cina, india, kadazan, bidayuh dan sebagainya. Melalui apresiasi pelajar perlu mengetahui budaya – budaya yang terdapat di dalam kaum – kaum tersebut dan menghormati budaya – budaya yang dianuti oleh kaum – kaum yang hidup sebumbung di negara ini. Contohnya kepelbagaian anutan agama di Malaysia dan pelajar perlu menghormati agama- agama yang dianuti oleh masyarakat Cina, India dan Melayu. Contohnya melalui penghasilan karya yang bertemakan masyarakat majmuk di Malaysia di dalam pengajaran pendidikan seni visual pelajar juga perlu mengkaji tentang aspek budaya serta sejarah yang terdapat pada semua kaum yang terdapat di Malaysia. Pelajar akan mengkaji satu demi satu budaya dan secara tidak langsung dapat mengenali budaya tersebut dan menghormati budaya masing – masing dan budaya yang terdapat pada kaum lain di Malaysia.
Seterusnya pembelajaran Pendidikan Seni Visual di dalam kelas juga membolehkan pelajar menghargai suasana seni dalam persekitaran. Contohnya melalui pembelajaran tentang estetika seni di dalam seni visual pelajar dapat melahirkan rasa keindahan di dalam diri sendiri. Estetika merupakan nilai keindahan daripada estetika inilah pelajar dapat menilai unsur – unsur keindahan yang terdapat di persekitarannya. Contoh yang lebih jelas ialah di setiap pelusuk persekitaran kita terdapatnya unsur – unsur estetik seperti tumbuh – tumbuhan, haiwan dan sebagainya. Tumbuh – tumbuhan dan juga haiwan merupakan ciptaan tuhan yang mempunyai keindahan tersendiri. Melalui pembelajaran unsur seni warna pelajar juga dapat melihat kepada contoh warna yang terdapat di dalam persekitaran seperti warna harmoni yang terdapat pada tumbuh – tumbuhan dan bunga – bungan manakala warna panas dan warna sejuk dapat dilihat perubahan waktu iaitu senja berwarna merah (warna panas) tengahari yang berwarna biru (warna sejuk).
Secara tidak langsung pelajar akan dapat memahami hubungan seni dan persekitaran melalui pemerhatian dan penyelidikan. Kefahaman pelajar tersebut akan memberi nilai kesedaran terhadap alam persekitaran dan tidak sewenang – wenangnya mencemari alam sekitar dan keadaan ini membolehkan manusia hidup di dalam keadaan yang selesa. Nilai murni terhadap pembelajaran Estetika dapat disemai apabila pelajar memahami topik tersebut. Keadaan ini menyebabkan pelajar tidak akan membuang sampah dan apabila keadaan persekitaran kotor akan ada sifat tanggungjawab untuk membersihkannya. Selain itu juga di dalam pembelajaran Pendidikan Seni Visual guru juga perlu mendisiplinkan pelajar seperti membersihkan alatan – alatan dan studio setelah digunakan. Perkara ini dapat mendisiplinkan pelajar terhadap kebersihan.
Di samping itu seni juga mempunyai kaitan yang begitu kuat dengan keselesaan hidup. Iaitu semua manusia mementingkan sesuatu perkara yang indah dan selesa terutamanya di dalam kehidupan. Sifat ini merupakan sifat semulajadi manusia dan tidak dapat dikikis. Melalui objektif yang ke sembilan ini dapat di lihat di dalam topik pembelajaran komunikasi visual. Di dalam topik tersebut terdapatnya pembelajarn rekabentuk industri, tekstil dan beberapa lagi. Contohnya di dalam pengajaran rekabentuk industri terdapatnya unsur penting seperti penghasilan produk di dalam penghasilan produk perlunya kreativiiti supaya produk yang dihasilkan menarik dan mempunyai ciri ergonomik iaitu keselesaan dan juga keselamatan. Nilai ini dapat di terapkan di dalam jiwa pelajar tentang keselesaan. Selain itu seseorang pengguna juga akan memilih sesuatu barang yang mempunyai nilai kesenian atau estetik untuk digunakan dan juga mementingkan aspek keselesaan. Contohnya di dalam memilih kenderaan pengguna akan melihat dari segi rekabentuknya yang aerodinamik, cantik serta selesa digunakan.
Akhir sekali objektif ini mampu di capai apabila sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) diajar dengan sempurna serta sistematik. Guru juga perlu menerapkan nilai – nilai yang terdapat di dalam setiap topik pengajaran tersebut. Objektif ini merupakan objektif yang penting dan tidak boleh diabaikan.

objektif Pendidikan Seni

by Nas Ismail

Bagaimanakah pelajaran Pendidikan Seni Visual boleh berperanan untuk menyediakan asas kepada penyediaan guna tenaga manusia yang berkemahiran untuk pembangunan negara

1.0.Pengenalan.

Mata pelajaran pendidikan seni visual merupakan salah satu mata pelajaran yang di serapkan bersama – sama mata pelajaran lain di sekolah rendah iaitu tahun 1 hingga tahun 6 manakala sekolah menengah melibatkan tingkatan 1 hingga tingkatan 6. Mata pelajaran pendidikan seni visual di masukkan ke dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) adalah bertujuan untuk menyerapkan aspek – aspek yang terdapat di dalam objektif Pendidikan Seni Visual di dalam KBSM dan KBSR. Objektif – objektif tersebut adalah melalui topik – topik pengajaran PSV bagi sekolah menengah dan sekolah rendah. Sukatan pelajaran bagi tingkatan 1 hingga 5 terdapat empat bahagian tajuk yang melibatkan seni halus, seni komunikasi visual, rekabentuk dan kraf. Keempat – empat bahagian ini dapat membekalkan asas kepada prospek pekerjaan.

Manakala bagi sekolah rendah adalah lebih kepada asas pembelajaran pendidikan seni visual seperti menggambar, membuat corak, membentuk dan membuat binaan dan mengenal kraf tradisional. Keempat – empat bahagian ini adalah pengenalan kepada seni visual dari sekolah rendah sebelum memasuki sekolah menengah.

Selain dari itu terdapatnya objektif yang bertujuan untuk melahirkan golongan tenaga kerja mahir melalui pendidikan seni visual iaitu objektif bagi sekolah menengah iaitu objektif yang kelapan iaitu menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya.

1.0.Isi.

Melalui sukatan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual yang di ajar di sekolah rendah dan sekolah menengah dapat di lihat bahawa terdapatnya topik – topik pengajaran yang menyediakan asas kepada guna tenaga. Iaitu dapat dilihat dalam mata pelajaran Pendidikan seni visual untuk sekolah menengah terdapatnya empat bahagian utama di dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang mempunyai pecahan – pecahan masing – masing. Yang pertama ialah seni halus yang terdiri daripada lukisan, catan, arca dan cetakan. Manakala pecahan kedua ialah seni komunikasi visual iaitu rekabentuk grafik dan juga multimedia, seterusnya ialah pecahan yang ketiga ialah rekabentuk iaitu rekabentuk industri, hiasan dalaman dan juga landskap. Pecahan yang terakhir ialah kraf iaitu batik, tenunan, kayu dan tembikar.

Pecahan – pecahan tersebut bertujuan menyampaikan ilmu – ilmu mengenai asas seni seperti seni halus, komunikasi visual, rekabentuk dan juga kraf. Kesemua aspek tersebut akan diajar oleh guru mengikut tempoh masa yang ditetapkan iaitu dalam waktu pengajaran. Ilmu – ilmu tersebut perlu di kuasai oleh pelajar – pelajar. Kesemua ilmu tersebut merupakan asas di dalam bidang pekerjaan. Apabila kesemua asas – asas tersebut telah dikuasai setelah tamatnya pengajian di tingkatan lima pelajar – pelajar yang mempunyai kemahiran dalam bidang seni akan melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi mahupun di tingkatan enam. Di institut pengajian tinggi aliran – aliran seni tersebut adalah lebih menjurus kepada bidang pekerjaan seperti yang ditawarkan oleh Universiti Multimedia, Universiti Institut Teknologi Mara dan beberapa buah universiti lain.

Aliran – aliran tersebut dapat menjamin peluang pekerjaan yang diperlukan pada masa kini. Keadaan ini kerana Universiti tersebut banyak memberikan kemahiran yang bertujuan untuk membina kerjaya – kerjaya seni selepas bergelar graduan. Antara bidang – bidang seni yang di tawarkan oleh Universiti – universiti tersebut ialah seni halus sepert catan, cetakan manakala bidang pekerjaan dalam komunikasi visual seperti rekabentuk grafik dan multimedia. Bidang – bidang tersebut secara tidak langsung dapat membekalkan guna tenaga di dalam bidang pekerjaan. Guna tenaga yang dilahirkan oleh institut pengajian tinggi IPTS mahupun IPTA adalah tergolong di dalam guna tenaga yang berkemahiran tinggi.

Kelahiran guna tenaga yang ramai secara tidak langsung dapat menampung kekurangan tenaga kerja ataupun buruh di dalam kategori mahir terutamanya di dalam sektor pembangunan, perindustrian dan perdagangan. Kelahiran ramai guna tenaga mahir dapat meningkatkan lagi perkembangan ekonomi dan pembangunan negara. Contohnya apabila lahirnya seorang arkitek yang mahir projek pembangunan akan menjadi lebih cepat kerana pengurusan serta kualiti kerja yang dilakukan oleh arkitek tersebut. Tender – tender untuk tujuan pembangunan akan di berikan kepada golongan mahir. Selain itu sumber ekonomi juga dapat ditingkatkan apabila setiap tenaga kerja mahir membuka syarikat sendiri dan memerlukan kakitangan untuk menjalankan pekerjaan dan dari situ sumber ekonomi dapat di hasilkan.

Terdapat pelbagai pekerjaan yang berasaskan pendidikan seni yang boleh di perolehi selepas melanjutkan pelajaran antaranya :

1. Pereka laman web.

2. Pereka landskap.

3. Pereka hiasan dalaman.

4. Pereka grafik.

5. Artis digital 3D.

6. Pengedit video.

7. Pereka produk.

8. Pereka multimedia flash dan sebagainya.

Kesemua pekerjaan tersebut adalah berasaskan kepada aliran Pendidikan Seni Visual yang di serapkan kepada pelajar daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi. Pekerjaan – pekerjaan tersebut mampu menjana sumber ekonomi negara untuk tujuan pembangunan.

2.0.Penutup.

Pendidikan seni visual merupakan salah satu mata pelajaran yang begitu penting dan dapat memberi kelebihan kepada negara terutamanya dari segi bekalan tenaga kerja mahir. Pengeluaran bilangan tenaga kerja yang ramai dapat membantu proses pembangunan negara berjalan dengan lancar. Oleh kerana itu Pendidikan Seni Visual haruslah menjadi mata pelajaran yang wajib bagi setiap pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang – bidang tertentu selepas persekolahan.